Virus HIV dan AIDS ditemui buat kali pertama pada tahun 1981. Kita juga tahu yang penyakit ini telah meragut banyak nyawa, namun tidak dinafikan masih ramai yang terkeliru atau pun kurang memahami tentang penyakit AIDS. Oleh itu, maklumat orang ramai mengenai HIV/AIDS perlu dipertingkatkan lagi. HIV adalah singkatan daripada human immunodeficiency virus iaitu sejenis virus yang memusnahkan sistem ketahanan tubuh melawan penyakit. AIDS pula adalah singkatan bagi acquired immune deficiency syndrome atau sindrom kurang daya tahan melawan penyakit. AIDS adalah peringkat terakhir jangkitan HIV. Pada peringkat ini, sistem daya tahan tubuh melawan penyakit telah lumpuh.
Pesakit akan menunjukkan gejala jangkitan opportunist. Di antara penyakit-penyakit ini termasuklah radang paru-paru, tibi, oral crush atau selaput putih pada lidah dan dalam mulut, beberapa jenis barah dan beberapa penyakit kulit seperti kayap dan lain-lain lagi. Dr. Abdul Rashid Kasri (Timbalan Pengarah Kawalan Penyakit, Bahagian Kawalan Penyakit): "Ramai orang kurang pasti beza antara HIV dan juga AIDS. Bila seseorang telah dijangkiti virus HIV, maka HIV ada di dalam badan seseorang dan berkembang biak maka dia dikatakan sebagai telah dijangkiti HIV. Oleh sebab HIV berkembang biak dalam badan dan merosakkan sistem pertahanan seseorang, sistem pertahanan akan menjadi lumpuh. Pesakit ini mudah dijangkiti oleh penyakit lain. Pada masa peringkat inilah yang kita panggil ia peringkat AIDS.
Secara amnya, HIV/AIDS di negara kita ni adalah di peringkat apa yang dipanggil concentrated epidemic maknanya satu keadaan wabak yang tertumpu kepada golongan-golongan tertentu sebagai contoh penagih dadah begitu juga di kalangan mereka-mereka yang terlibat di dalam pelacuran dan sebagainya. Di kalangan ibu mengandung, kurang daripada 0.3 peratus atau lebih kurang dalam 0.3 peratus. Apa yang kerajaan telah buat selama ini sekurang-kurangnya berjaya dalam membantutkan perkembangan wabak HIV ini di negara kita." HIV tidak boleh hidup di luar badan manusia. Oleh itu, HIV tidak berjangkit melalui aktiviti harian seperti bekerja bersama, berkongsi kemudahan awam atau melalui sentuhan dengan pembawa HIV atau pesakit AIDS.
Dr. Abdul Rashid Kasri (Timbalan Pengarah Kawalan Penyakit, Bahagian Kawalan Penyakit): "Jangkitan HIV ini bukanlah mudah sangat kita nak mendapatnya kerana virus ini seperti kita maklum amat mudah mati. Ia perlukan tubuh badan kita untuk ia berkembang biak. Maknanya, kita tidak akan mendapat jangkitan HIV ini dengan perhubungan secara umum seperti berjabat tangan, bercakap, berpeluk atau pun mandi di tempat awam dan sebagainya." Bagaimana HIV berjangkit? jangkitan boleh berlaku melalui perkongsian jarum suntikan dengan mereka yang telah dijangkiti HIV. Perhubungan seks dengan mereka yang telah dijangkiti HIV. Ibu yang telah dijangkiti HIV kepada bayi semasa kehamilan, semasa kelahiran, dan melalui penyusuan susu ibunya. Namun begitu, kita tidak tahu siapa yang telah dijangkiti HIV. Tiada siapa yang boleh mengetahuinya melainkan melalui ujian. Apa terjadi apabila seseorang itu telah dijangkiti HIV? Dr. Christopher Lee (Pakar Perunding Penyakit Berjangkit HKL): "Bila seseorang telah dijangkiti kuman atau virus HIV, virus ini akan mula merosakkan daya tahan penyakit si pesakit itu dan ia merosakkannya melalui mengurangkan atau membunuh sel yang tertentu (sel CD4) sel yang penting untuk menjamin daya tahan penyakit. Bila CD4 ini dirosakkan oleh HIV, ia akan mula menurun dalam jangka masa beberapa tahun. Bila CD4 ini turun ke satu tahap yang agak rendah, pesakit ini akan mula sakit dengan gejala-gejala HIV dan dikatakan mereka telah masuk tahap AIDS atau acquired immune deficiency syndrome sebab daya tahan penyakit mereka sudah rosak sama sekali. Penyakit HIV ini luar biasa sikit. Bila seseorang mula dijangkiti kuman atau virus, biasanya tidak ada gejala-gejala yang khas. Mereka akan rasa sihat macam biasa dan hanya 50 peratus daripada pesakit ini akan dapat macam flu iaitu penyakit virus yang biasa yang akan berlaku dalam dua atau tiga minggu selepas terdedah kepada virus ini. Tapi ia tidak serius, dalam satu atau dua minggu gejala flu ini akan hilang dan pesakit ini akan macam biasa dan akan normal atau sihat untuk beberapa tahun. Kadang-kadang sampai enam hingga lapan, kadang-kadang sampai 10 tahun dengan tanpa gejala langsung. Bila selepas jangka masa lebih kurang lapan hingga 10 tahun, baru mereka ada gejala-gejala yang ringan misalnya kurang berselera, bertambah kurus sedikit, kadang-kadang cirit-birit, kadang-kadang demam sedikit tetapi itu pun tidak serius sampai mungkin 10 atau 12 tahun bila daya tahan penyakit mereka betul-betul rendah baru mereka ada gejala-gejala yang serius. Itu tahap AIDS."
Sekiranya anda telah terdedah kepada risiko jangkitan HIV, jalanilah ujian HIV untuk mendapatkan kepastian. Dr. Mangalam Sinniah (Ketua Unit Virologi HKL): "Bentuk-bentuk ujian. Ada beberapa jenis ujian yang terdapat untuk mengesan jangkitan HIV. Dalam gambar ini, terdapat protein-protein atas sampul virus HIV dan protein-protein yang ada dalam tisu virus HIV. Bentuk ujian ini adalah ujian antibodi, ujian antigen dengan ujian nucleic acid. Ujian antigen ini adalah ujian untuk mengesan protein-protein atau antigen yang ada ke atas dan dalam kuman HIV ini. Ujian antibodi adalah ujian untuk mengesan protein atau antibodi yang dihasilkan atau dikeluarkan oleh badan pesakit HIV untuk menentang virus HIV. Ujian nucleic acid atau PCR adalahujian untuk mengesan nucleic acid yang berada dalam virus HIV. Ujian PCR ini dijalankan ke atas bayi untuk pendiagnosan HIV dan juga ujian ini akan dijalankan sebagai ujian pemantauan atau prognostic marker ke atas pesakit-pesakit HIV yang dirawat oleh pakar perubatan. Di kebanyakan makmal kerajaan, ujian Rapid Test atau ujian Eliser dijalankan sebagai ujian pertama saringan. Di sini kita boleh nampak ujian Eliser adalah sejenis ujian untuk mengesan antibodi HIV dan dijalankan secara automatik dengan menggunakan alat-alat khas. Keputusan Eliser akan dikesan atau dipastikan dengan ujian lain. Ini kita namakan Particle Agglutination Essay atau PA. Prinsip-prinsip ujian ini adalah jenis lain. Ujian Rapid Test boleh didapati di pusat-pusat kesihatan dan klinik ibu dan bayi di peringkat daerah. Ujian Rapid Test dengan definisi ujian ini boleh menghasilkan keputusan dalam 24 jam. Simple Rapid Test adalah ujian yang boleh menghasilkan keputusan kurang satu jam (dalam beberapa minit sahaja). Walaubagaimana pun, anda harus ingat yang penting ialah kualiti dan ketepatan ujian tersebut bukannya kecepatan masa ujian. Ujian Western Blot dikatakan sebagai goal standard untuk menentukan semua ujian pengesahan. Ujian ini hanya dijalankan untuk kes-kes khas atau kes-kes medical legal kerana kemahiran tinggi dikehendaki untuk intepretasi keputusan Western Blot ini."
Sehingga kini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan, tiada sebarang penawar yang mampu menyembuhkan AIDS. Di Malaysia, apakah bentuk rawatan yang disediakan? Dr. Christopher Lee (Pakar Perunding Penyakit Berjangkit HKL): "Bila memberi rawatan kepada seseorang pesakit HIV, rawatan ini ada dua aspek. Satu ialah anti retro viral theraphy iaitu ubat untuk membunuh virus tersebut. Satu lagi ialah rawatan prophylactic. Ubat prophylactic ini adalah ubat-ubat yang khas, biasanya anti biotik yang diberi kepada pesakit supaya mereka tidak terkena kuman-kuman opportunistic misalnya ada sejenis penyakit yang menyebabkan radang paru-paru iaitu pneumonia. Kalau mereka diberikan ubat prophylactic bacterine ia boleh menyebabkan mereka tidak terkena penyakit ini. Ubat-ubat prophylactic ada di Malaysia sekarang dan diberi percuma dari hospital-hospital kerajaan. Kedua-dua jenis rawatan ini ada di Malaysia. Kesan sampingan pengambilan ubat ini ada tetapi tidak serius tetapi dengan pemantauan yang teliti, ia bukan satu masalah besar. Kaunseling adalah satu aspek yang penting dalam rawatan HIV kerana intepretasi-intepretasi yang luas dan boleh didapati di hospital-hospital kerajaan dan klinik-klinik keluarga di Kementerian Kesihatan. Kaunseling biasanya diberikan oleh doktor-doktor dan jururawat-jururawat yang mendapat latihan khas dalam bidang kaunseling. Kaunseling penting supaya pesakit dapat meneruskan hidup secara normal."
Harapan kepada pembawa HIV. Pembawa HIV hendaklah meneruskan kehidupannya, berfikiran secara positif dan mengekalkan tahap kesihatan yang optimum. Tahap kesihatan optimum boleh dicapai dengan mengamalkan gaya hidup sihat seperti tidur yang mencukupi, tidak merokok, bersenam, makan untuk kesihatan, serta menjaga kesihatan diri. Segera dapatkan rawatan awal sekiranya menghadapi masalah kesihatan. Patuhi jadual rawatan yang diberikan dan mendapatkan rawatan susulan yang telah ditetapkan. Berfikiran positif bagi mengelakkan tekanan fizikal, emosi, dan mental untuk meneruskan kehidupan. Sentiasa patuh kepada ajaran agama. Dr. Abdul Rashid Kasri (Timbalan Pengarah Kawalan Penyakit, Bahagian Kawalan Penyakit): " Bagi mereka-mereka yang telah dijangkiti HIV, jangan berputus asa. Pada masa ini, terdapat banyak bentuk rawatan yang boleh diperolehi. Kebanyakan mereka ini boleh menjalani kehidupan yang hampir-hampir seperti orang normal dengan syarat dia menjaga kesihatannya, mengamalkan cara hidup yang sihat, dan mendapatkan rawatan."
Pengetahuan berkenaan AIDS adalah sangat penting dalam usaha melawan wabak ini. Oleh itu, pengetahuan orang ramai perlu terus dipertingkat. Usaha menangani masalah HIV/AIDS memerlukan komitmen pelbagai pihak dan menjadi tanggungjawab bersama.
Thursday, 13 July 2017
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Popular Posts
-
BAHAYA ! PENYAKIT TIBI APABILA salah seorang teman sepejabat disahkan menghidap tibi, ramai risau apatah lagi mereka yang duduk berha...
-
Katakan Tidak Kepada Polisterin Sumber klik disini Oktober merupakan bulan yang sangat istimewa terutamanya bagi para pencinta ala...
-
Ketahui Khasiat Buah Oren Atau Sitrus, Banyak sebenarnya khasiat buah oren nih, sebut saja limau atau oren mesti orang kaitkan dengan v...
No comments:
Post a Comment