Navigasi


Selamat Datang ke Blogpost Pegaga Nenek   *Sabar itu iman, duit bukan kawan, dunia hanya pinjaman dan mati tak berteman.   *Setiap hari kita belajar sesuatu baru.   *Betulkan yang biasa, dan biasakan yang betul.   *Terus berusaha, jangan putus asa.   *Hari ini kita atas tanah, esok mungkin tanah atas kita.   *Nikmati bila Anda mampu, dan bertahan ketika Anda harus.   *Hormat dan taat kepada ibu dan bapa.   *Yang paling jujur adalah cermin, yang paling tipu adalah gambar.   *Anak adalah anugerah daripada Allah.   *Selalu ucap "Alhamdulillah".   *Setiap pilihan tiada salah mahupun betul, terpulang pada kita sendiri.   *hari ini akan lebih indah daripada kemarin jika kita mengawalinya dengan doa dan senyuman.   *Cakaplah yang benar walaupun ianya pedih.   *Mulakan harimu dengan memuji Allah.   *Kalau dunia ini pahit, Allah ialah gulanya.   *Kejarlah Ilmu dan Lakukanlah amal. Keduanya akan menuntun jalan ke Syurga.   *Berbaik hati kepada bayang kehidupanmu.   *Belajar sabar meski gelisah, belajar setia meski tergoda, belajar mengasih meski terluka.
Yellow Background Green Background Blue Background Red Background Red Background Red Background

Tuesday, 20 December 2016

Bahaya Polisterin


Katakan Tidak Kepada Polisterin
Oktober merupakan bulan yang sangat istimewa terutamanya bagi para pencinta alam sekitar kerana bermula 21-27 Oktober pada setiap tahun kita menyambut Minggu Alam Sekitar Malaysia (MASM). Kebiasaannya sebelum menjelang tarikh berkenaan, pelbagai persiapan telah dilakukan oleh pelbagai agensi yang terlibat secara langsung dalam pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar baik agensi kerajaan mahupun bukan kerajaan bagi mengajurkan program pendidikan dan kesedaran alam sekitar kepada setiap lapisan masyarakat. 
Antara matlamat utama sambutan MASM adalah bagi menyemai dan meningkatkan kesedaran masyarakat Malaysia mengenai pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar di negara ini. Pada setiap tahun, sambutan ini diraikan dengan pelbagai acara menarik mengikut tema yang telah ditetapkan dalam usaha menyuntik kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai tanggungjawab pelestarian alam sekitar yang perlu digalas oleh setiap individu.

Penganjuran MASM dilihat sebagai satu usaha yang baik terutamanya dalam menangani pelbagai isu alam sekitar yang masih tiada penghujung. Dalam tempoh yang tinggal lebih kurang dua minggu sahaja lagi sebelum sambutan, masih belum terlambat untuk para penganjur memantapkan lagi pengisian program yang telah dirangka, misalnya dengan memberi focus kepada isu besar seperti masalah pencemaran.

Didapati, baik di Malaysia mahupun di negara-negara lain di seluruh dunia, antara salah satu penyumbang terbesar kepada masalah pencemaran adalah penggunaan polisterin yang berleluasa pada hari ini. Mungkin, bagi segelintir kita yang peka dengan isu alam sekitar pasti sedar tentang keburukan penggunaan polisterin kepada kesihatan alam sekitar. Tetapi, bagaimana pula kepada rata-rata kita yang masih lagi belum sedar tentang keburukan penggunaan polisterin kepada masa depan alam sekitar?

Jika diamati, pada hari ini kita dapati polisterin masih menjadi pembungkus makanan dan minuman yang "popular" dalam kalangan pengusaha-pengusaha kedai makan dan juga dalam majlis-majlis keraian. Perkara ini perlu dilihat sebagai suatu ancaman yang sangat besar dan serius kepada alam sekitar. Ia perlu dihentikan dan dibanteras dengan segera agar masa depan alam sekitar dapat diselamatkan. Masyarakat perlu diberi pendedahan dan kesedaran tentang bahaya penggunaan polisterin. Mungkin masih ramai yang tidak tahu apakah sebenarnya yang menyebabkan polisterin bahaya digunakan?

Untuk pengetahuan umum, polisterin mengandungi bahan-bahan seperti stirena dan benzene yang boleh menjejaskan kesihatan alam sekitar. Bahan-bahan ini sangat berbahaya kepada alam sekitar kerana mengambil masa kira-kira 500 tahun untuk dimusnahkan secara semulajadi. Malah, menurut hasil kajian yang dilakukan oleh Institut for Energy and Environmental Research (IEER) pada tahun 1992 telah mendapati bahawa polisterin yang diperbuat daripada hydrochloroflourocarbon (HCFC-22) berpotensi mengancam alam sekitar sebanyak tiga hingga lima kali lebih tinggi berbanding bahan-bahan buangan yang lain.

Selain berbahaya kepada alam sekitar, stirena juga mengandungi bahan karsinogen yang boleh mendatangkan kesan mudharat kepada kesihatan manusia. Menurut kajian Agensi Penyelidikan Kanser Antarabangsa (IARC), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengelaskan stirena sebagai bahan karsinogen kumpulan 2B yang merupakan agen penyebab kanser kepada manusia. Bahan-bahan kimia daripada bekas polisterin akan menyerap ke dalam makanan dan kemudian ke dalam tubuh manusia.

Selain itu, stirena merupakan suatu mutagen yang boleh mengakibatkan perubahan genetik yang berpotensi merosakkan sistem pembiakan. Mutagen ini bukan sahaja amat berbahaya terhadap alam sekitar, bahkan juga kepada tahap kesihatan manusia. Misalnya, pendedahan kepada stirena secara berterusan boleh merendahkan bilangan sel darah merah dalam badan manusia dan menyebabkan seseorang perempuan mengalami gangguan semasa haid.

Melihat kepada bahaya penggunaan polisterin, adakah kita masih mahu berdiam diri tanpa melakukan apa-apa? Tidakkah kita berasa bersalah kepada empunya alam ini yakni Allah SWT dengan hanya membiarkan sahaja amalan yang boleh merosakkan alam ini dan juga kesihatan kita daripada terus berlanjutan? Walhal, Allah SWT telah berulang kali mengingatkan kita tentang peranan dan tanggungjawab kita sebagai khalifah di atas muka bumi ini.
Antaranya sebagaimana yang telah difirmankan-Nya dalam surah Hud, ayat 61 yang bermaksud:"Dialah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya". Peringatan ini seharusnya dihayati dengan sedalam-dalamnya agar kita tidak tergolong dalam kalangan mereka yang ingkar dan lalai dalam menunaikan perintah Allah SWT.

Sudah tiba masanya untuk kita menghentikan segala amalan tidak sihat yang boleh mengundang kemurkaan Allah terutamanya dalam setiap tindak tanduk kita terhadap alam sekitar. Langkah proaktif perlu diambil dengan segera bagi menghentikan penggunaan polisterin. Usaha ini tidak boleh dilakukan secara berseorangan, sebaliknya semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing dalam mendidik masyarakat tentang bahaya penggunaan polisterin.
Memandangkan kita bakal meraikan satu sambutan yang besar iaitu minggu alam sekitar, maka moleklah sekiranya salah satu program semasa sambutan berkenaan nanti diadakan kempen "katakan tidak kepada polisterin" agar masyarakat diberi pendedahan dan kesedaran yang sewajarnya tentang bahaya dan keburukan amalan penggunaan polisterin bukan sahaja terhadap alam sekitar, tetapi juga kepada kesihatan manusia.

Hanya dengan kesedaran yang bersifat menyeluruh yang diterapkan dalam diri setiap individu itu sendiri sahaja dapat menghentikan penggunaan polisterin. Apabila tiadanya permintaan terhadap polisterin, maka sudah pastilah penjualannya juga dapat dihentikan. Masyarakat perlu dididik secara berterusan untuk mengamalkan amalan mesra alam seperti membawa bekas pakai semula ketika membeli makanan dan juga minuman. Apabila amalan mesra alam dapat dibudayakan dalam kalangan masyarakat,maka sekali gus industri perusahaan berasaskan produk-produk yang tidak mesra alam juga dengan sendirinya dapat dilumpuhkan.

Selain tumpuan kepada usaha mendidik masyarakat kepada amalan mesra alam, pihak-pihak berwajib juga perlu mengambil langkah drastik dan tegas dengan mengharamkan terus penggunaan polisterin. Langkah pengharaman ini penting agar matlamat pelestarian alam sekitar melalui penganjuran program-program dan kempen-kempen kesedaran dapat mencapai matlamat sebagaimana yang disasarkan.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts