Kepentingan mengurus dan mengawal emosi adalah jelas. Emosi yang diurus dengan baik akan menyumbang terhadap kesejahteraan individu yang menyeluruh. Terdapat pelbagai kaedah dan pendekatan yang telah diutarakan dan diulas dalam ruangan–ruangan yang lepas seperti terapi kognitif, interaksi sosial, senaman dan sukan, imageri dan visualisasi dan lain–lain. Salah satu pendekatan yang mampu menyumbang ke arah pengurusan emosi yang lebih baik adalah dengan pendekatan muzik.
Terapi muzik adalah proses di mana, ahli terapi menggunakan aspek muzik dengan pendekatan sistematik bagi membantu individu meningkatkan kualiti kehidupan dalam pelbagai aspek seperti fungsi kognitif, kemahiran motor, emosi dan perlakuan, termasuk kemahiran sosial.
Muzik merupakan salah satu daripada aktiviti yang melibatkan penggunaan keseluruhan otak. Ia adalah sesuatu yang dihargai dalam semua budaya dan memberikan faedah yang pelbagai. Kajian-kajian empirikal jelas menunjukkan bahawa muzik mempunyai ciri-ciri yang dapat membantu seseorang individu untuk mengalami perasaan positif hasil penggunaannya.
Muzik mempunyai elemen terapeutik dan boleh mencetuskan kepelbagaian perasaan oleh individu yang mendengarnya bergantung pada jenis muzik itu sendiri.Kesannya, muzik membangkitkan reaksi emosi berbeza.Umum mengetahui bahawa nada muzik yang berbeza memberi reaksi emosi yang berbeza.Lagu kebangsaan contohnya, sering membangkit rasa bersemangat. Selain itu, lagu-lagu yang dimainkan dalam pertandingan– pertandingan sukan juga bertujuan untuk membangkitkan semangat mereka yang bertanding. Sebaliknya, muzik berentak perlahan memberi kesan yang menenangkan. Malah, penggunaan muzik bersifat instrumental dengan ritma perlahan sering digunakan dalam kaedah-kaedah relaksasi seperti kaedah relaksasi progresif dan kaedah imageri.
Kesan emosi dari muzik ini juga dapat dilihat melalui perubahan fisiologi badan yang berlaku. Bergantung pada rentak muzik yang dimainkan, perubahan kadar jantung, tekanan darah dan kadar pernafasan yang berlaku. Selain itu, kajian empirikal turut mengaitkan muzik dengan rembesan hormon endorphin. Ia merupakan sejenis hormon yang berfungsi untuk menghalang rasa kesakitan dan memberikan perasaan lega, gembira, dan seronok.
Fungsi muzik dalam merawat dan mengawal tekanan perasaan, muzik menyumbang dalam pengurangan ketegangan otot dan membolehkan individu melepaskan tekanan yang dirasai. Muzik juga membantu individu untuk berada di dalam zon emosi dan tindak balas fisiologi badan yang positif, terutamanya dalam meningkatkan hormon seperti endorphin seprti yang disebut di atas, dan menurunkan hormon seperti cortisol, iaitu hormon yang dihasilkan oleh tubuh kesan dari tekanan yang dialami.
Malah, kajian saintifik turut menyokong kesan positif muzik bukan sahaja dalam konteks penyakit mental,bahkan untuk penyakit lain seperti penurunan tekanan darah, pemulihan selepas strok, pengawalan kesakitan berkaitan migrain dan sakit kepala, peningkatan fungsi imuniti badan, dan membantu untuk masalah tidur.Bagi ahli sukan, muzik dikesan membantu untuk mengurangkan rasa keletihan, meningkatkan motivasi dan semangat, merembeskan hormon yang membantu individu untuk mengurangkan rasa bimbang dan takut serta menyumbang terhadap prestasi secara menyeluruh.
Selain itu, kajian saintifik juga menyokong kesan positif muzik dalam meningkatkan fungsi kognitif terutamanya dalam konteks meningkatkan tahap konsentrasi di pelbagai peringkat. Umum mengetahui bahawa perhatian dan tumpuan merupakan komponen kognitif yang penting untuk setiap golongan individu dalam menjalani kehidupan seharian.
Malah, ia sering dikaitkan dengan prestasi seseorang individu di dalam konteks pencapaian segenap bidang sama ada akademik, pekerjaan, sukan dan lain-lain.
Penggunaan muzik dalam membangkitkan emosi positif adalah sesuatu yang umum.Malah, muzik-muzik pilihan individu sering dikaitkan dengan perasaan dan mood yang positif.Dengan sokongan saintifik yang ada, penggunaannya boleh dikembangkan untuk menangani isu-isu lain dalam konteks fungsi kehidupan yang menyeluruh.
Pilihan jenis muzik dalam membangkitkan perasaan dan mood yang positif adalah sesuatu yang peribadi. Namun, pandangan mereka yang pakar harus diambil kira dalam menentukan jenis muzik untuk tujuan khusus, seperti untuk meningkatkan prestasi sukan ataupun untuk mengawal perasaan di dalam konteks klinikal.
Ini kerana, muzik yang berbeza diketahui memberikan reaksi emosi dan fisiologi yang berbeza. Oleh yang demikian.penggunaan muzik dalam keadaan yang sistematik dan terkawal harus digalakkan untuk memberi impak yang maksimum terhadap matlamat penggunaannya.
Ini kerana, muzik yang berbeza diketahui memberikan reaksi emosi dan fisiologi yang berbeza. Oleh yang demikian.penggunaan muzik dalam keadaan yang sistematik dan terkawal harus digalakkan untuk memberi impak yang maksimum terhadap matlamat penggunaannya.
No comments:
Post a Comment