Sains Islam dan Syariah Islamiyah : Perspektif Hubungan
Sains Islam dalam segala kaedah dan penggunaan teknologinya pada hakikatnya muncul daripada kandungan paradigma epistemologi Islam itu sendiri walaupun bahan-bahan bagi peringkat permulaan perkembangannya mungkin telah diperolehi daripada pelbagai sumber yang disintesiskan. Penyelidikan sains Islam berasaskan wahyu membawa setiap pengkajian ke arah satu keputusan yang telah ditentukan iaitu dengan menunjukkan tanda- tanda keEsaan Allah yang menciptakan segala sesuatu tanpa sia-sia (Quran: Ali Imran:190-191). Penyelidikan sedemikian amat digalakkan dalam Islam, malah sebagai contoh kajian tentang proses kejadian manusia pertama Adam AS yang berasal daripada tanah (Quran: Al-Mukminun:12), terbukti kebenarannya apabila penyelidikan berbentuk analisis kimia didapati 105 jenis unsur pada tanah adalah sama dengan unsur- unsur yang ada pada diri manusia, walaupun berbeza segi perkadarannya (Muhajir:1976).
Identiti sains Islam dapat dijelaskan dalam analisis pendekatannya secara langsung dapat memberikan gambaran dan matlamat serta kedudukan sains dalam Islam. Begitu juga dengan analisis kritis terhadap metodologi yang mempengaruhi cara-cara aplikasi dan adaptasi sains Islam mampu menerangkan dan menjelaskan imejnya tersendiri. Akal manusia, alam semesta dan alQuran merupakan aspek asas dalam penggarapan wahyu. Ketiga-tiganya dikaitkan secara sempurna dengan gagasan utama Islam, bahawa dengan kuasaNya, Allah mencipta dan mempersembahkan ciptaanNya (F.Schoun:1972). Segala bentuk ilmu pengetahuan adalah saling 33 Sains Islam vs Sains Barat: Analisis Amalan dan Perbandingan berkaitan dengan wahyu, pengkajian dan penyelidikan serta penghasilan teknologi harus menghubungkannya dengan kebenaran wahyu yang merupakan tunggak utama ketamadunan Islam.
Islam tidak hanya menggalakkan penerokaan dan pengkajian saintifik semata-mata malah menghubungkannya dengan ibadat. Pengajian sains dan teknologi mendorong manusia ke arah ketaatan kepada Allah yang terkandung dalam mekanisme iman dan ibadat serta keprihatinan terhadap nilai-nilai Islam yang lain seperti khilafah, amanah, adil dan istislah (kepentingan umum). Konsep pembangunan dan kemajuan dalam konteks Islam adalah bersifat menyeluruh meliputi aspek moral, kerohanian dan material, kesempurnaan manusia adalah bergantung kepada kesempurnaan iman (Khurshid Ahmad:1979). Kedudukan sains dalam Islam jelas ianya bertujuan membantu manusia ke arah kesempurnaan iman, sains adalah jalan pemangkin mencapai matlamat tersebut.
Keutamaan kepada kepelbagaian kaedah merupakan kriteria unik sains Islam. Ia juga menunjukkan satu jalan tengah untuk memperolehi ilmu pengetahuan yang luas. Ini adalah untuk (Fadzlullah:1995);
i) Memastikan agar tiada satu pun bentuk ilmu pengetahuan atau kaedah mencapai pengetahuan dijadikan sebagai agenda untuk mencapai kebenaran mutlak.
ii) Memastikan agar wujud kepelbagaian kaedah sebagai alternatif maksimun dalam proses mengumpul maklumat ilmu pengetahuan.
Sains Islam memberi penekanan terhadap aspek keharmonian dan keseimbangan serta keadilan. Berteraskan prinsip keharmonian dan keseimbangan saintis Islam mencipta teknologi menggunakan daya semula jadi melalui penggunaan maksimum tenaga manusia dan meminimumkan gangguan terhadap alam persekitaran (Glynn Ford:1991).
Selain itu, prinsip-prinsip sandaran sains Islam telah dikemukakan oleh Ziauddin Sardar (1982) secara analitikal dan kritikal, iaitu beliau percaya bahawa terdapat sepuluh nilai dalam teras pemikiran Islam, empat daripadanya terbentuk secara tersendiri iaitu tauhid (kesatuan), khilafah (amanah), ibadah dan ‘ilm (ilmu). Ditambah tiga lagi secara berpasangan yang berlawanan, iaitu halal dan haram, ‘adl (keadilan sosial) dan zulm (kezaliman) serta yang ketiga istislah (kepentingan umum) bertentangan dengan diya’ (pembaziran). Penerapan prinsip-prinsip ini dalam program penyelidikan dan penciptaan sains amat penting bagi menjamin pembangunan dan perkembangan sains dan teknologi yang seimbang dan harmonis.
Sains Islam yang berasaskan idea tauhid, tentulah mempunyai satu pandangan yang bersepadu dan jelas tentang konsep dan prinsip kepelbagaian kaedah dan teknik kajian serta penyelidikan terhadap objek kajian adalah merupakan unsur terpenting. Bagi saintis Islam, semua pengalaman adalah perlu untuk dinilai dan diselidiki, tanpa mengetepikan sebahagian yang lain kerana dianggap sebagai telah mengetepikan realiti itu sendiri. Pada hakikatnya, kaedah ini adalah dihasilkan daripada persepsi al-Quran tentang maksud realiti dan makna serta kedudukan manusia dalam realiti tersebut. Oleh yang demikian, para saintis Islam mengaplikasikan pelbagai kaedah yang bersesuaian terhadap sesuatu objek kajian (Osman Bakar:1994). Sehubungan itu, mereka beranggapan setiap kaedah yang berbeza adalah saling melengkapi (Seyyed Hossein:1980) malah terdapat satu keharmonian dalam kepelbagaian ini seterusnya memberi impak positif apabila wujud kesepaduan yang membawa kepada kesempurnaan.
Pendekatan Sains Islam dan Barat: Satu Perbandingan
Perbandingan sains Islam dan Barat wujud perbezaan yang nyata di dalam konteks, epistemologi dan metodologi pengajian 34 Vol.20 (April) 2017 sains dalam ketamadunan sains. Secara umumnya, perbezaan falsafah sains atau sistem kepercayaan (Sardar,Z:1992) telah memberikan implikasi terbesar kepada kewujudan perbezaan daripada aspek perkembangan pengajian sains itu sendiri. Sains Islam mempercayai wahyu dan menganggapnya sebagai salah satu cara untuk menghampiri tuhan. Bagi sains Barat pula, kepercayaan berasaskan rasionalisme dan menolak semua bentuk pengetahuan lain yang dianggap karut (Sidi Ghazalba:1974).
Keinginan untuk memahami perjalanan persekitaran dan fenomena alam telah wujud secara fitrah sejak zaman awal lagi. Sehubungan itu, naluri ingin tahu ini telah melahirkan pelbagai konsepsi dan persepsi alam di kalangan manusia. Seringkali, konsepsi ini dihuraikan dalam bentuk mitos dan animisme, bagi masyarakat yang mempunyai agama dan kitab suci sebagai rujukan mempunyai konsepsi berbentuk teologi tabii (Sardar,Z:1992).
Falsafah sains boleh disamakan juga dengan falsafah tabii , jika perbincangannya fokus kepada metodologi atau kaedah kajian alam tabii. Falsafah tabii ialah konsepsi manusia terhadap alam tabii, meliputi hubungan manusia dengan alam dan peranan alam dalam skema kejadian atau kewujudan. Ia juga merangkumi penjelasan terhadap fenomena alam tabii dengan merujuk kepada tabiat dan kuasa tabii. Selain itu juga, skop falsafah ini turut meliputi persoalan yang boleh dikaitkan dengan metafizik dan teologi, khususnya apabila perbincangan tertumpu kepada peranan alam dan hubungannya dengan pencipta (Hairuddin Harun:1992). Di sini juga jelas perbezaan hierarki ilmu pengetahuan sains Islam dan Barat, dari aspek jenisnya iaitu pandangan secara keseluruhan (over view) Islam berteraskan akidah dan bagi Barat adalah falsafah semata-mata (Sulaiman Nordin:1992).
Perbandingan yang jelas antara sains Islam dan Barat seperti berikut (Sardar,Z:1989):
Jadual 2: Menunjukkan Perbezaan Pendekatan Sains Islam Berbanding Barat
Sains Barat - Sains Islam
Percaya kerasionalan - Mengimani wahyu
Sains untuk sains - Sains hanyalah sebagai alat untuk mencari keredhaan Allah : satu bentuk pengabdian yang ada fungsi rohani dan sosialnya
Satu-satunya kaedah untuk mengetahui kebenaran - Terdapat banyak kaedah yang berasaskan kepada penaakulan dan juga wahyu sama ada berbentuk objektif atau subjektif. Semuanya adalah sah
Sikap bebas emosi sebagai kunci mencapai kerasionalan - Emosi perlu meningkatkan pengetahuan sains dari segi rohani dan sosial
Tidak memihak. Seorang ahli sains seharusnya meminati ciptaan ilmu baru dan natijah penggunaannya - Memihak kepada kebenaran. Jika sains satu bentuk pengabdian, ahli sains mesti mengambil kira akibat yang timbul daripada penemuannya. Ibadat adalah amalan dan natijahnya mesti baik. Jika tidak ahli sains hanyalah ejen yang tidak bermoral
35 Sains Islam vs Sains Barat: Analisis Amalan dan Perbandingan
Ketiadaan sikap berat sebelah. Pengesahan pernyataan sains hanya bergantung kepada operasi pembuktian dan tidak pada orang yang membuatnya - Adanya kesubjektivitian. Arah sains adalah subjektif. Pengesahan pernyataan bergantung kepada operasi pembuktian niat dan juga pandangan hidup sendiri. Pengakuan adanya subjektiviti memaksa ahli sains mengaku kelemahan diri.
Menangguh pemutusan. Kenyataan sains dibuat hanya berdasarkan asas bukti yang meyakinkan - Latihan pemutusan. Kenyataan sains selalu dibuat dengan bukti yang tidak meyakinkan. Ahli sains perlu mampu membuat keputusan bila berhadapan dengan bukti yang tidak meyakinkan. Apabila sampai masa yang bukti meyakinkan telah dikumpul mungkin terlalu lewat untuk melakukan sesuatu tentang akibat- akibat yang telah merosakkan itu
Penurunan cara dominan untuk mencapai kemajuan sains. - Sintesis sebagai cara dominan untuk mencapai kemajuan sains. Ini meliputi sintesis sains dan sitem nilai
Pemecahan. Sains sebagai aktiviti yang kompleks. Oleh itu dapat dipecahkan kepada disiplin, sub-disiplin dan subsubdi- disiplin. - Holistis. Aktiviti sains terlalu kompleks untuk diceraikan dan diasingkan kepada bahagian kecil. Sains sebagai interdisiplin, intradisiplin dan holistis
Kesejagatan. Walaupun sains bersifat sejagat, namun hasilnya hanya yang mampu membayar. Oleh itu, kerahsian dibolehkan. - Kesejagatan. Hasil kajian sains untuk seluruh manusia. Pengetahuan serta kebijaksanaan tidak dapat dijadikan barang tukaran atau jual beli. Merahsiakannya adalah sikap buruk dan tidak bermoral
Individualisme. Ahli sains seharusnya memisahkan diri mereka daripada keprihatinan tentang sosial, politik dan ideologi. - Orientasi masyarakat. Aktiviti adalah fardu kifayah atau tanggungjawab sosial. Ahli sains dan masyarakat mempunyai tanggungjawab bersama
Sains tidak baik tetapi juga tidak buruk - Orientasi nilai sains seperti kebanyakan aktiviti manusia, mempunyai nilai, ia mungkin baik atau patut dipuji, ada juga buruk dan patut dikeji, contohnya sains perang saraf
Setia bersama kumpulan. Hasil pengetahuan baru daripada kajian adalah yang terpenting daripada aktiviti lain dan patut diberikan sokongan. - Kesetiaan hanya kepada tuhan dan makhlukNyapengetahuan sains yang baru adalah satu jalan memahami tanda-tanda kewujudan tuhan dan seterusnya meningkatkan taraf ciptaannya; manusia, haiwan dan persekitaran. Tuhanlah yang mencipta sains, sebab itu ia mesti disokong seperti aktiviti umum bukan aktiviti golongan atasan semata-mata
36 Vol.20 (April) 2017
Kebebasan penuh. Kesemua usaha untuk mengawal penyelidikan sains harus ditentang - Pengurusan sains. Sains merupakan satu sumber yang tidak ternilai harganya. Oleh itu, jangan disiasiakan dan membiarkannya membawa keburukan dan kebinasaan secara langsung. Ia perlu diurus dan dirancang dengan teliti serta seharusnya dijadikan sebagai subjek etika dan moral
Matlamat menghalalkan cara. Disebabkan penyelidikan sains merupakan sesuatu yang baik dan penting untuk kesempurnaan hidup, semua kaedah termasuk penggunaan haiwan hidup, manusia dan janin bayi dibenarkan - Matlamat tidak menghalalkan cara. Tidak ada keistimewaan di antara matlamat dan kaedah sains. Kedua-duanya seharusnya halal dan mesti di dalam batas-batas etika dan akhlak
Sains dan teknologi moden kini adalah berbentuk monopoli pengetahuan tentang kekuasaan alam semulajadi yang bebas daripada semua bentuk pengetahuan yang tinggi (Syed Hossein:1994). Selain itu, sains dan teknologi ini merupakan tajaan Barat yang dipelopori dan dipopularkan ke dunia ketiga bersama slogan saintifiknya (Baharudin Ahmad:1994). Jadual menunjukkan dengan jelas wujud perbezaan ketara pendekatan sains Islam dan Barat. Selain itu, sains dan teknologi moden yang diwarisi kini, secara total hampir keseluruhannya mengikut corak aplikasi Barat.
Sunday, 25 February 2018
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Popular Posts
-
BAHAYA ! PENYAKIT TIBI APABILA salah seorang teman sepejabat disahkan menghidap tibi, ramai risau apatah lagi mereka yang duduk berha...
-
Katakan Tidak Kepada Polisterin Sumber klik disini Oktober merupakan bulan yang sangat istimewa terutamanya bagi para pencinta ala...
-
Ketahui Khasiat Buah Oren Atau Sitrus, Banyak sebenarnya khasiat buah oren nih, sebut saja limau atau oren mesti orang kaitkan dengan v...
No comments:
Post a Comment