Navigasi


Selamat Datang ke Blogpost Pegaga Nenek   *Sabar itu iman, duit bukan kawan, dunia hanya pinjaman dan mati tak berteman.   *Setiap hari kita belajar sesuatu baru.   *Betulkan yang biasa, dan biasakan yang betul.   *Terus berusaha, jangan putus asa.   *Hari ini kita atas tanah, esok mungkin tanah atas kita.   *Nikmati bila Anda mampu, dan bertahan ketika Anda harus.   *Hormat dan taat kepada ibu dan bapa.   *Yang paling jujur adalah cermin, yang paling tipu adalah gambar.   *Anak adalah anugerah daripada Allah.   *Selalu ucap "Alhamdulillah".   *Setiap pilihan tiada salah mahupun betul, terpulang pada kita sendiri.   *hari ini akan lebih indah daripada kemarin jika kita mengawalinya dengan doa dan senyuman.   *Cakaplah yang benar walaupun ianya pedih.   *Mulakan harimu dengan memuji Allah.   *Kalau dunia ini pahit, Allah ialah gulanya.   *Kejarlah Ilmu dan Lakukanlah amal. Keduanya akan menuntun jalan ke Syurga.   *Berbaik hati kepada bayang kehidupanmu.   *Belajar sabar meski gelisah, belajar setia meski tergoda, belajar mengasih meski terluka.
Yellow Background Green Background Blue Background Red Background Red Background Red Background

Tuesday, 10 April 2018

Rasuah

Apa itu Rasuah?

Penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi. Suapan terdiri daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan upah, diskaun.

Sebagai contoh, seorang kontraktor telah menghadiahkan seutas jam tangan kepada seorang pegawai kerajaan kerana telah meluluskan projek kepada syarikat milik kontraktor berkenaan.

Berdasarkan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009) (Akta 694), terdapat empat kesalahan rasuah yang utama iaitu:

Meminta/Menerima rasuah [seksyen 16 & 17(a) Akta SPRM 2009]
Menawar/Memberi suapan [seksyen 17(b) Akta SPRM 2009]
Mengemukakan tuntutan palsu [Seksyen 18 Akta SPRM 2009]
Menggunakan jawatan/kedudukan untuk suapan pegawai badan awam [Seksyen 23 Akta SPRM 2009]

Gagal Melapor

1. Gagal melapor pemberian, janji atau tawaran rasuah
Seksyen 25 (1) dan (2) Akta SPRM 2009
DENDA : Tidak lebih RM100,000
PENJARA : Tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali

2. Gagal melapor permintaan atau memperoleh suapan
Seksyen 25 (3) dan (4) Akta SPRM 2009
DENDA : Tidak lebih RM10,000
PENJARA : Tidak lebih 2 tahun atau kedua-duanya sekali 

Anda Dilindungi

Masyarakat tidak perlu gentar untuk membantu membanteras kes rasuah. SPRM sentiasa memastikan kerahsiaan maklumat yang diberikan dan PEMBERI MAKLUMAT adalah dilindungi serta tidak boleh didedahkan kepada mana-mana pihak dalam apa jua keadaan.

PEMBERI MAKLUMAT adalah orang yang membuat pendedahan tentang jenayah rasuah berdasarkan pengetahuannya. Mereka dilindungi di bawah Seksyen 65 Akta SPRM 2009.

PEMBERI MAKLUMAT boleh dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

PEMBERI MAKLUMAT yang menjadi SAKSI bagi sesuatu kes rasuah dilindungi di bawah Akta Perlindungan Saksi 2009.

Sumber : http://www.sprm.gov.my/index.php/pendidikan/kenali-rasuah

Sunday, 8 April 2018

Kolesterol

Kolesterol

Kolesterol ialah bahan berlemak (lipid) yang merupakan sebahagian daripada membran luar sel dalam badan haiwan. Ia juga ditemui dalam edaran darah manusia. Dua sumber utama kolesterol dalam darah diperoleh daripada pemakanan dan pengeluaran hati.

Kolesterol pemakanan datang daripada daging, ayam, ikan dan produk tenusu. Selepas makan, kolesterol diserap oleh usus ke dalam peredaran darah dan diselaputi oleh protein. Kolesterol bersalut protein ni dipanggil chylomicron.

Hati mampu menyingkirkan kolesterol daripada peredaran darah dan juga menghasilkan kolesterol serta merembeskan kolesterol ke dalam peredaran darah. Selepas makan, hati mengeluarkan chylomicron daripada peredaran darah. Di antara waktu makan, hati menghasilkan dan merembeskan kolesterol kembali ke dalam peredaran darah.

Kolesterol tidak boleh larut dalam darah kecuali jika ia bergabung dengan protein khas yang dipanggil lipoprotein. Kolesterol yang dirembeskan oleh hati ke dalam darah boleh bergabung dengan lipoprotein ketumpatan amat rendah (VLDL) atau lipoprotein ketumpatan tinggi (HDL).

Kolesterol LDL yang terhasil daripada metabolisme kolesterol VLDL dalam aliran darah, dikenali sebagai kolesterol ‘jahat’ manakala kolesterol HDL dikenali sebagai kolesterol baik.

Kolestrol penyebab serangan jantung

Seseorang individu terdedah kepada serangan jantung bila dia mempunyai kolesterol LDL yang lebih tinggi daripada kolesterol HDL.

Lipoprotein LDL menyebabkan kolesterol melekat pada dinding arteri, menyebabkan pembentukan bahan keras dan tebal yang dipanggil plak kolesterol. Lama-kelamaan, plak kolesterol menyebabkan dinding arteri menebal dan saluran arteri semakin sempit, satu proses yang dipanggil atherosclerosis.

Arteri koronari membekalkan darah dan oksigen kepada otot jantung. Bila arteri koronari menyempit disebabkan atherosclerosis, ia tidak mampu membekalkan darah dan oksigen secukupnya kepada otot jantung. Kekurangan oksigen ke otot jantung menyebabkan dada sakit, juga ketulan darah dalam arteri yang menyebabkan saluran itu tersumbat dan membawa kepada kematian otot jantung (serangan jantung).

Zarah kolesterol HDL menghalang proses atherosclerosis dengan menarik kolesterol daripada dinding arteri dan menyingkirkannya melalui hati, untuk dibuang menerusi hempedu. Ia juga mengganggu pengumpulan kolesterol pada dinding arteri oleh zarah kolesterol LDL.

Rujukan 

"Safety (MSDS) data for cholesterol". Dicapai pada 2007-10-20.

Pilihan Raya

Proses pilihan raya di Malaysia

Selepas peristiwa Perang Dunia Kedua berakhir pada tahun 1945, diikuti dengan pengunduran Tentera Jepun dari Tanah Melayu, semangat nasionalisme di kalangan rakyat Tanah Melayu ketika itu amat ketara. Tertubuhnya parti-parti politik untuk memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu. Mereka ini mendapat kuasa melalui pilihan raya yang diadakan untuk memilih kerajaan.

Tujuan utama parti-parti politik ini bertanding ialah untuk memperoleh majoriti kerusi di Parlimen (Dewan Rakyat Malaysia) atau Dewan Undangan Negeri supaya boleh menubuhkan Kerajaan Persekutuan atau Negeri. Calon-calon yang memperoleh majoriti undi di bahagian yang mereka bertanding akan diisytihar menang.

Pilihan raya umum Malaysia diadakan secara berkala bagi melantik wakil-wakil rakyat ini. Dan sekiranya berlaku kekosongan di antara tempoh pilihan raya umum, pilihan raya kecilboleh diadakan bagi mengisi kekosongan tersebut.

Undang-undang dan peraturan pilihan raya

Bagi melancarkan proses pilihan raya, beberapa undang-undang dan peraturan telah digubal untuk memastikan prosedur pilihan raya berjalan tanpa masalah. Undang-undang dan peraturan tersebut ialah:-

1. Perlembagaan Persekutuan.
2. Perlembagaan Negeri.
3. Akta Pilihan Raya 1958 (Akta 19).
4. Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5).
5. Peraturan-peraturan (Penjalanan Pilihan Raya) Pilihan Raya, 1981.
6. Peraturan-peraturan (Pendaftaran Pemilih) Pilihan Raya, 2002.
7. Peraturan-peraturan (Pengundian Pos) Pilihan Raya, 2003.

Semua undang-undang dan peraturan-peraturan ini adalah berkait secara langsung dengan proses pilihan raya. Walau bagaimanapun terdapat juga beberapa undang-undang yang walaupun tidak mempunyai kaitan secara langsung dengan proses pilihan raya, tetapi memain peranan dalam kelancaran penjalanan pilihan raya. Ia termasuklah Akta Polis 1962; Akta Hasutan 1970; Akta Rahsia Rasmi 1972; dan Akta Keselamatan Dalam Negeri, 1960.

Elemen-elemen penting pilihan raya

Elemen-elemen penting pilihan raya adalah:-

1. Bahagian Pilihan Raya.
2. Pemilih.
3. Calon.
4. Proses Pilihan Raya.

Bilangan bahagian pilihan raya

Rencana utama: Senarai kawasan pengundian di Malaysia

Dalam sistem pilihan raya yang diamalkan di Malaysia, seseorang calon dipilih untuk mewakili penduduk-penduduk sesuatu bahagian pilihan raya di Parlimen (Pilihan Raya Umum) atau Dewan Undangan Negeri (Pilihan Raya Negeri). Sehingga kini terdapat 222 kerusi Dewan Rakyat (Parlimen) dan 567 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Persempadanan semula bahagian pilihan raya

Sebagai sebahagian daripada fungsi utamanya, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) bertanggungjawab untuk mengkaji semula sempadan Bahagian-bahagian Pilihan Raya Parlimen dan Negeri. Seperti yang tertera di dalam Perlembagaan Persekutuan, Suruhanjaya Pilihan Raya perlu menjalankan kajian ini setiap tidak kurang daripada 8 tahun. Bagaimanapun, ia boleh ditangguhkan sekiranya terdapat peristiwa besar, seperti pilihan raya umum.

Pendaftaran pemilih

Satu elemen penting dalam sistem pilihan raya ialah seseorang pemilih itu mestilah mendaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya sebelum dia boleh mengundi dalam pilihan raya bagi Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri. Di Malaysia, seseorang itu layak untuk mendaftar jika dia:-

1. warganegara Malaysia;
2. berumur tidak kurang daripada 21 tahun pada tarikh kelayakan;
3. seorang penduduk di mana-mana bahagian pilihan raya di Malaysia; dan
4. tidak hilang kelayakan.

Hilang kelayakan

Seseorang pemilih akan hilang kelayakan jika:-
  1. Pada tarikh kelayakan, ditahan kerana tidak siuman atau sedang menjalani hukuman penjara; atau
  2. Sebelum tarikh kelayakan, telah didapati bersalah dan dihukum mati atau penjara untuk tempoh lebih 12 bulan dan masih menjalani hukuman pada tarikh kelayakan; atau
  3. Telah didapati bersalah di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954; atau
  4. Telah memperoleh kerakyatan asing.
Semakan daftar pemilih

Semakan daftar pemilih dijalankan di sepanjang tahun, seperti yang diperuntukkan di dalam undang-undang. Pengundi boleh mendaftar di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya, Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri, Pejabat-Pejabat Pos atau melalui unit-unit bergerak Suruhanjaya. Daftar-daftar pemilih baru disediakan setiap 3 bulan sekali dan ia dipamerkan selama 7 hari bagi tujuan urusan tuntutan dan bantahan. Selepas mempertimbangkan tuntutan dan bantahan melalui siasatan awam, daftar pemilih untuk tahun berkenaan akan disahkan oleh Suruhanjaya di dalam tempoh sebulan. Semasa semakan daftar induk, nama-nama pemilih yang sudah meninggal dunia dan yang sudah hilang kelayakan mengikut undang-undang akan dikeluarkan daripada daftar berkenaan.

Kelayakan calon

Dalam sistem pilihan raya di Malaysia, calon yang bertanding boleh mewakili sesuatu parti atau bertanding sebagai calon bebas. Seseorang itu layak menjadi calon dalam mana-mana pilihan raya jika memenuhi syarat berikut:-

1. warganegara Malaysia dan bermastautin di negara ini;
2. berumur tidak kurang daripada 21 tahun pada hari penamaan calon; dan
3. tinggal di Negeri di mana dia akan bertanding.

Seseorang calon hilang kelayakan jika dia:-

1. telah didapati atau diisytiharkan tidak siuman; atau
2. didapati seorang bankrap; atau
3. memegang jawatan berkepentingan 'office of profit'; atau
4. gagal mengemukakan laporan perbelanjaan pilihan raya; atau
5. telah didapati bersalah oleh mahkamah di Malaysia dan dijatuhi hukuman penjara untuk tempoh tidak kurang dari 1 tahun atau denda tidak kurang dari RM2000 dan belum mendapat pengampunan; atau
6. telah memperoleh kewarganegaraan asing.

Tempoh pilihan raya

Pilihan Raya untuk Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri, seperti yang ditetapkan oleh undang-undang, diadakan sekali di dalam tempoh 5 tahun kecuali jika dewan dibubarkan lebih awal. Pilihan Raya Umum diadakan di dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pembubaran.

Pilihan Raya Kecil juga diadakan di dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan, sama ada disebabkan kematian, peletakan jawatan atau seseorang Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri itu hilang kelayakan. Dalam hal ini tarikh kekosongan kerusi akan ditetapkan oleh Suruhanjaya.

Proses pilihan raya

Pilihan Raya Umum atau Pilihan Raya Kecil bermula dengan pengeluaran writ pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya kepada Pegawai Pengurus. Pada masa yang sama satu notis akan diwartakan, menetapkan tarikh-tarikh hari penamaan calon dan hari mengundi.

Hari penamaan calon

Hari penamaan calon merujuk kepada hari yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya bagi calon-calon mengemukakan kertas-kertas penamaan untuk bertanding dalam pilihan raya kepada Pegawai Pengurus. Kertas-kertas penamaan boleh dikemukakan oleh calon, pencadang dan penyokong atau salah seorang daripada mereka. Kertas-kertas penamaan mestilah dikemukakan di antara pukul 9.00 pagi hingga 10.00 pagi pada hari penamaan.

Kertas-kertas penamaan akan dipamerkan dari jam 10.00 pagi hingga 11.00 pagi untuk diteliti dan bantahan. Dalam kes di mana seorang calon sahaja yang dicadangkan, Pegawai Pengurus akan mengisytiharkan calon itu menang tanpa bertanding.

Pertaruhan

Pertaruhan berjumlah RM10,000 bagi kerusi Parlimen dan RM5,000 bagi kerusi Negeri perlu diserahkan kepada Pegawai Pengurus sebelum atau pada hari penamaan calon. Calon akan hilang wang deposit sekiranya gagal memperoleh 1/8 atau 12.5% undi daripada jumlah keseluruhan pengundi yang keluar mengundi pada hari pengundian di kawasan tersebut.

Penggunaan simbol

Seseorang calon yang mewakili sesuatu parti politik boleh menggunakan simbol parti jika dia mendapat kebenaran bertulis daripada ketua parti berkenaan. Calon-calon bebas perlu memilih mana-mana simbol yang telah disediakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya, untuk dicetak pada kertas-kertas undi.

Kempen

Suruhanjaya Pilihan Raya telah merangka peraturan-peraturan khas untuk berkempen, seperti yang tertera di dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya (Pindaan) 2002. Kempen hanya boleh dimulakan selepas selesai proses penamaan calon dan mesti dihentikan jam 12.00 tengah malam sebelum hari mengundi. Bagi memastikan pilihan raya berjalan lancar Suruhanjaya mempunyai kuasa di bawah perkara 3(5) Akta Pilihan Raya 1958 dan perkara 27A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 untuk melantik Pegawai Penguat Kuasa dan membentuk satu atau lebih Pasukan-pasukan Penguat Kuasa di setiap bahagian pilihan raya Parlimen, jika difikirkan perlu. Unit ini dianggotai oleh Pegawai Penguat Kuasa yang dilantik oleh Suruhanjaya Pilihan Raya, seorang wakil dari Ibu Pejabat Polis Daerah, seorang wakil dari Pihak Berkuasa Tempatan dan seorang wakil tiap-tiap parti/calon yang bertanding.

Pegawai Penguat Kuasa bertanggungjawab kepada Pegawai Pengurus, dan tugas pasukan ini ialah untuk memantau bahan-bahan kempen, ceramah-ceramah pilihan raya dan perhimpunan umum, bagi memastikan peruntukan-peruntukan di bawah undang-undang dan peraturan-peraturan pilihan raya tidak dilanggar. Suruhanjaya Pilihan Raya juga akan menubuhkan jawatankuasa-jawatankuasa di peringkat Pusat/Negeri/bahagian-bahagian pilihan raya bagi memberikan penerangan kepada parti-parti politik, calon-calon atau ejen-ejen dan petugas-petugas parti mengenai undang-undang dan peraturan pilihan raya. Senarai perkara yang mesti dipatuhi dan dilarang semasa pilihan raya disediakan, dan ini perlu diambil ingatan oleh calon-calon dan petugas-petugas parti.

Hari mengundi

Hari mengundi adalah merujuk kepada hari pemilih-pemilih membuang undi. Secara rasmi hari mengundi bermula dari selepas 12.00 tengah malam dan berakhir dengan pengumuman keputusan pilihan raya. Namun demikian, waktu membuang undi ditetapkan dari jam 8.00 pagi hingga jam 5.00 petang di seluruh Malaysia. Bagi kawasan-kawasan pedalaman, unit-unit bergerak digunakan bagi memastikan kelancaran membuang undi. Selain dari itu, waktu membuang undi mungkin berbeza antara daerah-daerah. Suruhanjaya Pilihan Raya biasanya akan mengeluarkan notis untuk memaklumkan orang ramai tentang perkara-perkara pilihan raya seperti:-

1. tarikh mengundi;
2. lokasi tempat mengundi;
3. waktu mengundi di semua tempat mengundi;
4. lokasi pusat pengiraan dan penjumlahan undi.

Di petak mengundi, pengundi dikehendaki membuat satu tanda yang menunjukkan pilihan mereka pada setiap kertas undi. Tanda ini, seperti tanda 'X', tanda semak ataupun titik, perlu dibuat pada lajur calon yang dipilih sahaja.


Rujukan

1. Razak Ahmad (26 Mei 2013). "Election Commission promises utmost transparency in redelineation exercise". The Star Online. Dicapai pada 28 Mei 2013.

2. GE13: Election Commission - Many Malaysians still unaware on how to mark ballot papers". The Star Online. 9 Mei 2013. Dicapai pada 10 Mei 2013.

Popular Posts